Rakaman infoICT

Friday, April 15, 2005

BAGAIMANA HENDAK MENGETAHUI KELAJUAN SESUATU SAMBUNGAN

Sambungan ke Internet di caj mengikut kelajuan. Lebih laju kelajuan sesuatu sambungan maka lebih mahallah caj yang akan dikenakan. Jika dahulu apabila kita menggunakan modem untuk mendail menggunakan dialup kita mungkin tidak perlu memilih kelajuan bagaimana yang kita perlukan, tetapi dengan adanya Jalur Lebar atau Broad Band ianya menjadi sesuatu kayu pengukur bagaimana caj akan dikenakan.

Sebelum kita pergi kepada bagaimana hendak mengukur kelajuan sesuatu sambungan, elok juga kita mengetahui bagaimana kelajuan sambungan diukur. Kelajuan sesuatu sambungan Internet tidak kira menggunakan teknologi apa, dengan wayar, atau tanpa wayar, diukur dengan sukatan Kbps. Ianya dari singkatan perkataan Kilo bit per second.

Sebutan Kbps dengan KBps adalah berbeza, b kecil adalah bits dan B besar adalah byte. Kesilapan menyebut atau menulis satu huruf ini banyak perbezaannya dan boleh mengakibatkan sesebuah syarikat itu di saman kerana membuat pengiklanan palsu. Jadi untuk Sahabat yang berkerja di bidang pengiklanan dan bertugas untuk menghasilkan iklan untuk syarikat ICT pastikan kita perhatikan huruf b didalam Kbps.

Untuk mengukur kelajuan internet mudah sahaja, seperti hendak mengukur kelajuan kenderaan, kita ambil jarak yang dilalui dan dibahagikan dengan masa yang diambil, maka dapatlah kelajuan, jika kita mengambil masa 2 jam untuk sampai ke destinasi yang jaraknya adalah 10km maka kelajuan kenderaan kita adalah 10km dibahagikan dengan 2 jadi kelajuan kenderaan kita adalah 5 km sejam.

Untuk kelajuan sambungan Internet pula untuk mengira kelajuan, kita muat-turun data yang kita tahu saiznya dan bahagikan dengan masa yang diambil untuk data tersebut dimuat-turunkan. Sebagai contoh jika kita muat-turunkan data yang bersaiz 100KB. Untuk memuat-turunkan 100KB mengambil masa 10 saat, maka kelajuan kita adalah 100KB /10 saat jawapannya adalah 10KBps.

Oleh kerana kelajuan diukur mengikut bit bukannya byte maka kita kalikan 8 untuk menukarkan dari byte kepada bits. Jadi 10KBps akan menjadi 80 Kbps apabila didarab dengan 8.

Tak perlu susah-susah untuk mengira, sebenarnya kita boleh pergi kebanyak laman web yang mememberikan kemudahan pengiraan ini secara percuma, satu daripada laman web yang saya gunakan untuk mengukur kelajuan sesuatu sambungan Internet adalah di www.toast.net.

© 2005 Azli Paat